Mendebarkan Hati! Kisah Jalaluddin Rumi dan Orang-orang Miskin
Rumi suka menyantuni orang miskin
Tahukah Anda, Maulana Jalaluddin Rumi lahir dari keluarga ulama yang diberikan layanan VIP dari Sultan kerajaan Bani Seljuk. Namun, Rumi memilih untuk duduk dengan fakir miskin berbanding dengan para bangsawan.
Murid-murid Rumi kebanyakannya ialah golongan buruh yang miskin dan hidup susah. Walau bagaimanapun, Rumi tidak mempedulikan hal itu.
Bak kata Rumi: “Jikalau murid-murid aku tidak memerlukanku, aku yang akan menjadi murid mereka. Tapi sebab mereka memerlukanku, maka aku pun terima menjadi guru mereka. Mengapa? Agar mereka berubah, merasai musyahadah dan menjadi orang baik-baik.”
Pada suatu hari, semasa Rumi sedang khusyuk beribadah hingga tidak perasan keadaan sekelilingnya, seorang fakir miskin datang kepadanya.
Dia mengadu, “Aku orang susah. Tiada apa-apa.” Ketika itu Rumi sedang fana, tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya.
Fakir miskin itu pun mengambil kesempatan. Dia senyap-senyap mencuri sehelai sajadah dan segera meninggalkan tempat itu.
Sebaik sahaja Hodja Majduddin Maraghi, seorang pengikut Rumi sadar akan perkara ini, terus dicarinya si fakir miskin itu.
Rupa-rupanya, fakir miskin itu dijumpai sedang coba menjual sajadah yang dicurinya di Bazaar Tiz. Tanpa berlengah, lelaki itu diheret ke hadapan Rumi.
Alangkah terkejut Rumi apabila diberitahu tentang apa yang terjadi, “Dia mesti mengambil sajadah ini kerana memerlukannya. Maafkan dia. Kita mesti membeli semula sejadah ini daripadanya.”
Murid-murid Rumi dilarang meminta sedekah. Pesan Rumi, “Kita memikul sunah Nabi iaitu menahan diri daripada meminta-minta..
.. supaya rekan-rekan kita dapat memperoleh rezeki dengan perniagaan, perkhidmatan, pertukangan atau apa sahaja perdagangan yang diraih dengan kudrat tangan dan titik peluh sendiri..
.. Sesiapa yang tidak mentaati disiplin ini, bukanlah daripada murid-murid kami. Dalam pandangan kami, dia tidak bernilai sedikit pun.” Sunah Nabi SAW benar-benar dijadikan pedoman.
Rumi sanggup hidup susah demi mencontohi Rasulullah SAW. Dia hidup seperti seorang fakir miskin. Harta yang ada dibagikan kepada orang yang lebih memerlukan.
Walaupun tiada apa pun yang tersisa di rumahnya, Rumi berasa lega dan berkata, “Alhamdulillah, hari ini rumah kita mencontohi rumah Rasulullah SAW.”
Tidak cukup dengan itu, Rumi secara senyap-senyap membantu kewangan sebahagian muridnya yang susah. Dia akan meletakkan uang di bawah sejadah murid yang memerlukan tanpa dilihat oleh sesiapa pun. Penghormatan daripada orang ramai bukanlah apa yang dicari Rumi.